Wednesday, August 6, 2014

Asif, Anak Syurga Yang Kembali Menemui Penciptanya

Alhamdulillah...

Pagi ini selesai bersahur, juga selesai solat subuh sendiri. Masuk si anak sambil bertuala.

"Adik, kiss ummi sikit".

Rutin apabila nampak kelibat si kecil.

"Bagusnya adik hari ni sahur, kenalah solat subuh. Orang Islam kena solat. Barulah Allah sayang banyak-banyak."

Adik tersenyum.

"Bila Allah sayang, tempat kita nanti mestilah di syurga". Sambung saya menguatkan hujah.

"Macam Asif ummi?"

"Mesti Asif seronok main macam-macam kat sana!" Sambung adik sambil tersenyum.

Saya turut tersenyum bersamanya. Mata mula berkaca, dalam diam saya berusaha menahan sebak. Setiap kali nama itu disebut, air mata gagal tertahan. Entahlah, mungkin mengenangkan bahagianya anak kecil itu bertemu Pencipta dalam keadaan tiada dosa.

Awal tahun ini, sudah beberapa kali adik memaklumkan tentang Asif. Katanya Asif dah tiada. Tanpa memahaminya dengan jelas adik sering mengungkap.

"Teacher kata Asif dah mati ummi." Kemudian menyambung bicaranya, "meninggal dunia".

Saya sendiri tidak pernah ambil pusing. Bagi saya itu mungkin gurauan di kalangan anak-anak kerana saya tidak pernah menduga anak itu diambil pergi.

Setelah beberapa kali adik mengulanginya, malah ada kawan adik yang mengiakan perkara ini, saya sendiri jadi ingin tahu. Akhirnya, semua persoalan terjawab setelah pertemuan dengan guru Mifdhal diadakan.

"Innalillah"...

Air mata tidak tertahan.

Tiba-tiba ada rasa bersalah dalam diri. Rasa seperti tidak mengambil berat langsung tentang suatu perkara.

Sampai hari ini, saya tidak tahu mengapa setiap kali nama itu disebut adik. Kolam air mata pasti pecah.

"Beruntungnya kamu wahai Asif".

Peristiwa pulang ketika mahu membeli goreng pisang di tepi jalan menjadi detik terakhir Asif bersama ibunya. Sebuah kereta yang entah dari mana munculnya, gagal menekan pedal break sehingga mencelakakan Asif dan ibunya dari belakang. Saat itu ibu Asif masih menghamili adik kedua Asif.

Akibat tragedi itu Asif pergi untuk selama-lamanya.

Ibunya juga bertarung nyawa kerana terpaksa melahirkan adik Asif akibat insiden itu. Adik Asif lahir dalam keadaan yang agak kritikal dan dirawat sepenuhnya oleh pihak hospital.

Kisah ini saya tahu daripada salah seorang bekas guru Asif.

Saya nukilkan kisah ini kerana ingatan dan kasih saya buat Mifdhal dan arwah sahabatnya, Asif. Secara peribadi saya tidak mengenali siapakah penghuni syurga ini. Tetapi daripada Mifdhal, saya begitu yakin bahawa Asif merupakan seorang anak yang taat.

Anak yang tiada dosa, tempat mu pasti syurga.

Azlina Hariri
Desa Alam

No comments:

Post a Comment