Wednesday, October 22, 2014

Apa Pegang-Pegang Ni? Tidak Tahu Hukumkah?

Malaysia, tanahairku.

Keluar satu isu jadi viral. Berhari-hari dibicarakan. Sedangkan sekiranya ilmu itu difahami, tidaklah timbul provokasi.

Di bawah ini, kami kongsikan jawapan dari Presiden Murshid, Dr. Zaharuddin Abd Rahman. Beliau juga merupakan seorang Pensyarah Kanan di UIAM, Penasihat Shariah Kewangan Islam tempatan dan antarabangsa, kolumnis, penulis buku serta seorang pendakwah.

_____________________________________________________________________

PANDANGAN SAYA TERHADAP ISU PROGRAM 'I WANT TO TOUCH A DOG'

1. Sefaham saya, jika ingin menganjurkan program menjelaskan pendirian Islam tentang anjing, keringanan ketika menyelamatkan anjing, Islam rahmat kepada haiwan termasuk anjing, mengajar masyarakat agar tidak membenci anjing tanpa sebab syarie etc. Program sebegitu adalah BOLEH dibuat dan wajar diterima.

2. Namun jika program menggunakan tema 'i want touch a dog' dan seolah 'majlis menyentuh anjing beramai-ramai tanpa sebab dan keperluan yang jelas' diikuti dengan bergambar, memeluk dan menciumnya dari kalangan orang Islam, maka itu sudah pastinya mencipta PROVOKASI terhadap masyarakat setempat. Walaupun mazhab Maliki mengganggap anjing dan seluruh tubuhnya sebagai tidak najis & tidak haram disentuh, namun pandangan dan pegangan masyarakat setempat perlu diambil kira. Ditambah lagi dengan ijtihad ulama mazhab Syafie yang mengharamkan sentuhan tanpa sebab yang syar'ie. Mazhab Hanbali turut menganggap anjing sebagai najis yang tidak harus menyentuhnya tanpa sebab yang syarie.

3. Pada hemat saya, program itu mempunyai tujuan yang baik namun cara pelaksanaannya tidak tepat dan tidak berhati-hati serta terlalu terbuka tanpa kawalan dan panduan jelas diberikan kepada para pesertanya.

4. Justeru saya TIDAK bersetuju PENGANJURAN seumpama itu, namun saya juga tidak bersetuju kecaman melampau-lampau dan ugutan pelbagai pihak terhadap penganjur dan mereka yang hadir.

5. Bagi saya tidak wajar digelar mereka sebagai gerakan Islam liberal kerana sekiranya mereka meyakini ijtihad mazhab Maliki, maka itu tidak sama sekali boleh dianggap liberal, malah mazhab tersebut adalah salah satu dari ahli sunnah wal jamaah. Jika mereka mengatakan harus memakan daging babi dan anjing, ketika itu barulah mungkin mereka sudah menyimpang dan liberal, kerana terdapat dalil spesifik dan jelas kenajisan dan pengharaman.

6. Bagi saya juga, menuduh penganjur boleh terkeluar aqidah atau menghina Islam juga adalah tuduhan agak keterlaluan, tidak boleh kita sewenang-wenang menggunakan tuduhan berat sedemikian tanpa bukti jelas menunjukkan mereka membenci Islam & ingin menghinanya.

Bagi saya, apa yang berlaku adalah hanya masalah Fiqh dan perbezaannya. Ia tidak sampai melibatkan masalah aqidah kerana pengharaman sentuh anjing dan tubuhnya tidak berdalil qat'ie dan bukan juga sampai ke peringkat ijma' (sepakat seluruh ulama silam) ditambah lagi wujudnya ijtihad berbeza dari mazhab Maliki dan sebahagian mazhab Hanafi, mereka berbeza dari mazhab Syafie dan Hanbali yang mengganggap anjing sebagai najis.

KESIMPULAN

Dalam mengambil sikap dalam isu ini, kebijaksanaan masyarakat dan kematangan menghadapi situasi kepelbagaian pendapat, kefahaman dan perbezaan perlu dipandu dengan lunak dan berhemah.

Penganjur walau niatnya baik mungkin tersalah pendekatan dan tidak teliti dalam peganjuran sehingga memilih tajuk dan provokatif sehingga mungkin dilihat mencabar kefahaman awam tentang anjing. Justeru, elok penganjur memohon maaf sahaja kepada pihak berkuasa dan masyarakat awam yang terusik dengan tindakan kurang bijak mereka.

Para ilmuwan & orang ramai yang mengecam, walaupun berniat baik namun mungkin terlalu emosi sehingga berlebihan dalam melabel, tuduhan dan ancaman.

Para ilmuwan & pihak berkuasa khususnya sepatutnya tidak melenting, menjadi juara dalam melabel dan mengutuk. yang sepatutnya mereka memandu orang ramai untuk tenang menyikapi perbezaan pendapat dalam masyarakat awam. Kerana pandangan selain mazhab Syafie berterusan boleh diikuti oleh masyarakat awam di zaman internet dan globalisasi ini yang mana sumber maklumat yang pelbagai boleh di hujung jari. Maka untuk menempelak terlalu keras terhadap mereka yang terkeluar dari ijtihad mazhab Syafie seolah mereka menjadi liberal atau terkeluar Islam adalah juga tidak berhemah dalam mendidik masyarakat.

Orang ramai pula, dinasihati tidak mengeruhkan suasana dengan membuat ugutan kekerasan terhadap penganjur dan mereka yang menyertai. Cercaan, makian dan kutukan keras hanya membawa kalian kepada potensi menambah dosa-dosa. Nasihat sahaja mereka dengan baik disertai dalil-dalil yang difahami, bukankah itu lebih enak dan harmoni.

Penganjur juga perlu menyedari terlalu banyak keutamaan isu yang jauh lebih baik dianjurkan kempen berbanding isu anjing ini. Sentuhan yang haram seperti sentuhan lelaki wanita bukan mahram, berpelukan, kempen anti zina, makan wang haram dan lebih jauh berleluasa dan berbahaya. Ilmuwan pula lebih digalakkan lebih banyak memberi respon kepada isu-isu yang lebih kronik berbanding isu ini. Atas sebab itu juga saya lewat mengulas isu iini kerana dirasakan ia tidak sebegitu besar namun media dan ulasan awam dan pihak berkuasa yang menjadikannya besar.

Sekian

Dr. Zaharuddin Abd Rahman
PRESIDEN MURSHID

Sumber Facebook.com/Zaharuddin Abd Rahman

Nota Pemakanan Untuk Penderita Kanser

Nota ringkas ini, saya petik dari dinding mukabuku seorang sahabat. Ternyata perkongsian ringkas ini ada rahsia tersendiri.

Sekali imbas apa yang dikongsikan oleh penulis asal, adalah perkara-perkara biasa yang sering kita lakukan sebagai seorang individu.

Namun, bagi individu yang sedang bergelut mengatasi keluhan-keluhan yang semakin memberat dan menjadi beban kehidupan sehari-hari sesuatu yang dikongsikan di bawah ini amat bermakna.

Mungkin ada kandungan kata-kata di bawah yang sedikit menyentap jiwa, tetapi anggaplah luahan hati seorang penulis yang telah lama berhadapan dengan pelbagai rencah kehidupan manusia sehingga menjadikan beliau seorang yang lantang dalam menyuarakan pendapat peribadi beliau.

_____________________________________________________________________


Nota Pemakanan Untuk Penderita Kanser

Alhamdulillah, semakin ramai penderita kanser mendapatkan pandangan ketiga dengan penyembuhan homeopathy.

Homeopathy menjadi pilihan akhir selepas puas melahap makanan tambahan dan rawatan tradisional.
Bagi kami di KHH, rawatan lengkap ialah:

1. Makan penawar homeopathy
2. Lakukan terapi berjalan pantas atau taiji atau senaman pernafasan
3. Amalkan pemakanan organik dan bergizi tinggi
4. Hentikan pewangi dan kosmetik.gantikan produk mandian kepada sejahtera TANPA SLES,    PARABEN
5. Tidur awal jam 11pm
6. Maafkan semua orang/pihak. Maafkan diri sendiri. Minta maaf dengan orang/pihak lain.
7. Dunia hanya pinjaman. Kita tidak memiliki. Allahu Ya Malik yang punya semua.

Insya Allah, Cancer is Curable. Kami sudah menyaksikannya. Anda harus berazam!

Dipetik dari Facebook.com/Kirana Homeopathy Healing.

Tuesday, October 21, 2014

Nasi Lemak Bungkus vs Nasi Lemak Kedai!

Bismillah...

Dua kali berpusing di jalan yang sama kerana kesalahan dalam memilih jalan yang ingin dilalui. Sambil mulut mengomel, hati memujuk. Kaki dan tangan serta mata kekal bertugas memastikan pemanduan berjalan lancar.

Tidak pernah berhenti di gerai simpang kiri jalan menghala ke Surau Al-Islah, Seksyen 7, Shah Alam. Hari ini kereta berhenti di bahu jalan sebelah kiri bertentangan dengan gerai. Kueh-meuh semua habis tinggal nasi lemak sahaja. Saya minta dibungkuskan nasi lemak dengan tambahan sambal ikan bilis.

'Cukup?" Soalnya.

"Sedikit lagi." Tokok saya.

Di rumah, saya menuang terus nasi yang dibeli ke dalam pinggan. Duduk tercongok di hadapan peti nipis hitam yang mengeluarkan gambar dan bunyi. Sambil menyuap, tangan kiri ligat menaip sesuatu di skrin telefon pintar. Semua kerja perlu dibuat dalam satu masa.

Perkara ini tidak sepatutnya diamalkan kerana ianya mengganggu fokus otak untuk proses penghadaman makanan yang dilakukan oleh organ perut.

Kembali kepada kisah nasi lemak.

Rasa pedasnya menyebabkan saya mula mahu menghentikan kunyahan. Nasi lemak ini enak dengan tambahan hirisan kecil telur rebus. Cuma selera semakin kurang kerana banyaknya perkara yang sedang difikirkan.

Antara nasi lemak bungkus di gerai dengan nasik lemak kedai yang disenduk sendiri yang mana jadi pilihan?

Ada kelebihan dan kekurangan. Ia berkait dengan pilihan individu.

Ada yang selesa bungkus, makan di rumah kerana kaedah begini lebih jimat. Kebiasaannya rasa nasi lemak itu sudah dimaklumi oleh pembeli.

Namun, menikmati nasi lemak di kedai ada tarikan yang tersendiri. Boleh menambah minuman sambil bersantai. Lebih mudah, selesai makan pinggan diangkat oleh pelayan di kedai. Cuma jika dibandingkan dengan pilihan pertama, pilihan kedua ini mengambil jumlah yang lebih besar kepada nilai yang semakin meningkat inflasinya.

Tiada yang betul atau yang salah, pilihan di tangan masing-masing. Selamat menjamu selera.

Apapun, pilihan yang terbaik adalah nasi lemak yang dimasak sendiri dengan aroma santan, daun pandan serta hirisan halia dan bawang merah. Cerita sahaja sudah terliur. Apatah lagi tatkala ia melalui deria rasa yang diciptakan dengan cukup sempurna.

Azlina Hariri

Penawar Bagi Penyakit Hati

Kawasan tanah lapang mula dipenuhi susuk-susuk tubuh yang sabar menanti kedatangan seorang lelaki. Kisahnya telah tertulis di dalam satu kitab yang menjadi bacaan di antara ahli-ahlinya pada zaman itu. Malah kedatangan itu telah sangat lama dinantikan. Ada juga yang memanjat pohon tamar untuk mengintai individu istimewa itu.

Semua yang berkumpul pada hari itu mendengar dengan jelas butir bicara yang ingin disampaikan oleh susuk tubuh yang sangat mereka nantikan.

"Hai manusia! Sebarkanlah salam, berilah makan, hubungkanlah silaturahim dan bangunlah solat malam."

Solat di sepertiga malam dalam keadaan yang sunyi dan sepi itu merupakan minuman, makanan dan pakaian bagi orang-orang soleh. Ia juga adalah ubat bagi semua penyakit hati.

Menurut sumber, setelah 4oo tahun peristiwa ini, akhirnya kita juga menjadi sebahagian daripada mereka. Syukurilah nikmat itu.

Salah satu daripada petikan kuliyyah pagi yang berlangsung setiap hari di tingkat 3, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Seksyen 13, Shah Alam.


Gambar Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Seksyen 13.


Sunday, September 7, 2014

Ulasan

Alhamdulillah..

Tamat tugasan terakhir yang diserahkan kepada saya selaku pelajar on-line. Dan tugasan setelah menulis sebanyak 44 entri, saya perlu memberi ulasan mengenai kelas on-line kami.

Pertama.

Selaku pelajar, apa yang begitu saya suka adalah tiadanya desakan dalam menyelesaikan penulisan saya. Puan Guru tidak putus-putus berkongsi sebanyak petua untuk kemudahan pelajar-pelajar on-line. Dalam masa yang sama, saya tidak pernah ditekan dari sudut masa dan emosi untuk menyelesaikan mana-mana tulisan dalam waktu yang tertentu.

Kedua.

Saya bebas berkarya. Tiada paksaan untuk menulis hanya tajuk-tajuk tertentu bagi mengasah bakat yang hanya baru mahu mula tumbuh ini. Apabila tiada sekatan yang dikenakan, saya merasakan ianya lebih mudah dan semulajadi untuk menulis. Juga bebas memilih apa sahaja kisah yang saya sedia untuk berkongsi.

Ketiga.

Kebebasan dalam bertanya. Saya juga merasakan ini salah satu faktor yang penting untuk memotivasikan pelajar yang baru serta kurang yakin untuk mula-mula menulis. Ini kerana adanya perasaan malu untuk berkongsi kisah dan tulisan kita kepada orang lain. Puan guru bersedia untuk menjawap setiap persoalan dari masa ke semasa. Perhatian ini sangat diperlukan untuk pelajar-pelajar baru.

Keempat.

Saya dapat berkenalan dengan lebih ramai lagi penulis-penulis baru yang mempunyai bakat yang tersendiri. Dengan mengenali mereka, secara peribadi saya dapat belajar dan mencari lebih banyak idea dalam kehidupan seharian. Tidak terhad dalam urusan kekeluargaan malah dalam urusan perniagaan bagi menjana pendapatan sebagai suri rumah.

Saya, secara peribadi merasakan banyak maklumat yang saya dapat kutip untuk diri saya sendiri. Dan setakat ini saya sangat berpuas hati dengan kelas saya dan saya berharap boleh menulis dengan lebih giat dan berkongsi lebih banyak pendapat peribadi saya.

Sekadar itu dahulu. Setiap yang baik itu datangnya dari Dia yang membenarkan setiap kebaikan itu datang. Dan kelemahan itu adalah milik yang bernama hamba.

Terima kasih cikgu.

Azlina Hariri. 

Saturday, August 30, 2014

Sejarah

Hari ini makan-makan lagi. Alhamdulilah...

Kenaikan berat badan bakal berlaku sekiranya aktiviti begitu terus digiatkan. Tetapi setiap pertemuan itu ada hikmahnya. Dan hari ini ianya membuka satu lagi ruang yang menarik dalam diari hidup ini.

Kisah sejarah.

Sejak akhir-akhir ini, pemikiran saya semakin terarah untuk mengambil tahu banyak cerita yang berkait dengan sejarah. Dan ianya seolah memang tersusun untuk saya menyelusurinya perlahan-lahan. Daripada pembacaan di blog, menoton di 'youtube', ceramah secara terbuka dan terakhir ini pertemuan dengan sahabat yang berkongsi tentang satu blog yang berkisar tentang sejarah Melayu lama.

Teringat sekitar tahun 90-an, ketika itu saya masih di bangku sekolah. Saya dengan rela hati  memilih aliran sastera memandangkan saya seorang yang sangat lemah dalam subjek matematik.

Semua telah diatur-Nya. Hari ini kembali melakar sejarah lama. Di sekolah subjek sastera dan sejarah, dua subjek mudah yang paling saya minati. Sejarah, ingat sahaja fakta sekali, dan fakta itu kekal kerana ianya tidak pernah berubah. Melainkan ada penulis yang mengubahnya dahulu. Sastera, secara tidak langsung kita mengenali suatu watak dan jalan cerita serta plotnya.

Yang indahnya, dalam sastera, saya juga didedahkan tentang cerita berkait dengan Bangsa Melayu lama. Apabila membaca kisah Melayu lama, banyak kisahnya seolah satu mitos. Kadang-kala tiada kelogikan di situ. Tetapi tanpa sedar kisah itu sebenarnya menceritakan tentang sesuatu. Sesuatu, yang pada suatu masa dahulu, kisah itu pernah berlaku. Ajaibkan?

Masih ada secalit kisah sejarah yang tersimpan di dalam minda bawah sedar saya tentang kisah 'Awang'. Kisah tentang masyarakat Melayu.

Hari ini kembali membaca cerita-cerita sejarah. Mungkin juga sebagai tanda bahawa diri sudah semakin menjadi sejarah. Sebelum ini banyak pembacaan saya berkisar dengan bidang psikologi dan motivasi. Lagipun tidak salah menukar sejarah.

Azlina Hariri.

Wednesday, August 6, 2014

Ocelot

Mata ini sudah terasa benar beratnya. Anak-anak di bilik sebelah sudah terlena keletihan. Kesan penat perjalanan, tambahan sampai di sini hampir maghrib. Kemudian keluar semula mengisi perut.

Setelah perut kenyang kami membuang masa di Danga Bay.

Hampir 10 tahun tidak menjejakkan kaki setelah meninggalkan tempat ini. Banyak berubah. Kini telah menjadi sebuah kelab. Dahulunya hanyalah deretan kedai-kedai kecil.

Teringat semasa menetap di selatan tanahair, tempat ini selalu kami kunjungi. Menghirup udara segar sambil melihat biru, hitam dan kelabu air laut yang memisahkan antara Johor, Malaysia dan Singapura. Itu suatu waktu dahulu.

Kini, semua itu sudah banyak berubah. Deretan kapal-kapal yang berlabuh mula mengambil tempat di pesisir laut sekitar Teluk Danga.

Waktu itu, anak sulung kami baru mencecah usia sekitar dua tahun. Ke sana ke mari kami mengusungnya. Cepat masa berlalu. Benarlah seperti yang diungkap, 'yang pantas itu adalah masa'.
Ketika sibuk merakam suasana indah deretan kapal-kapal kecil yang berlabuh diterangi lampu neon serta cahaya bulan, kelihatan sesusuk tubuh ingin melintas. Namun membenarkan saya terus merakam sambil dia menunggu.
Setelah rakaman saya selesai, ucapan terima kasih saya hulurkan.
Perbualan singkat itu, menyempatkan beliau berkongsi beberapa cerita pengembaraan yang telah kapal kecilnya lalui. Terkesima seketika.

Beliau berkonggsi cerita tentang 'ocelot', sebuah kapal yang sangat banyak berjasa buat diri dan keluarganya. Kelihatan bercahaya kedua matanya ketika menceritakan perjalanan 'ocelot' merentas lautan dan benua. Tergambar kepuasan dari dua anak mata yang bersinar di bawah kilauan neon malam itu.

Dua anak pasangan ini juga membesar dalam dek kapal serta menimba banyak pengalaman kehidupan melalui perjalanan yang mereka tempuhi bersama 'ocelot' dan tempat di mana mereka melabuhkan layar.

Laut adalah kehidupan mereka. Dan di situ juga banyak tenaga dihabiskan.

Malaysia adalah antara negara yang paling mereka suka kunjungi. Keramahan warga tempatan serta tempat yang memudahkan untuk mereka melabuhkan layar. Menurut beliau lagi, mungkin masa yang akan datang Teluk Danga tidak lagi membenarkan mana-mana kapal peribadi untuk berlabuh di situ.

Selain Teluk Danga, Melaka juga antara negeri di Malaysia yang membenarkan kapal-kapal milik peribadi ini berlabuh di marina.

Menurut cerita yang sempat dikongsikan oleh beliau, mereka suami isteri menjual semua hartanah untuk memilik kapal peribadi dan telah merancang kewangan sebelum mereka memilih untuk hidup sebagai pelayar, yang membolehkan mereka melihat dunia dari sudut yang berbeza.

Menjalani kehidupan di tengah lautan memerlukan kekuatan mental dan fizikal yang kuat. Mereka perlu menghadapi apa sahaja rintangan di tengah lautan. Sebelum melabuhkan layar, setiap pelayar mesti tahu situasi negara yang bakal diduduki seketika. Situasi aman atau tegang, semua itu perlu dikaji. Bukan sekadar berlabuh sahaja. Tambahan,kebanyakan pelayar membawa bersama keluarga sepanjang pengembaraan.

Mengambil tahu situasi sesuatu tempat yang bakal mereka singgahi adalah satu perkara wajib. Secara tidak langsung, pelayar-pelayar ini mampu mengenali dengan lebih dekat masyarakat yang mendiami suatu kawasan itu. Inilah pelajaran yang tidak mampu diajar di mana-mana sekolah. Dan tidak semua yang mampu melalui situasi sebegini.

Banyak masanya saya curi. Daripada satu cerita ke cerita yang lain. Semua saya tanya. Maklumlah kita yang seumur hidupnya di darat merasa amat teruja dengan kehidupan mereka yang sangat asing bagi kita.

Anak-anak pasangan ini juga tidak mengikut sistem persekolahan biasa. Mereka belajar sendiri dan hanya menghadiri beberapa kelas dan berada di daratan untuk kuliah dan menyelesaikan pengajian peringkat tertinggi. Anak sulung pasangan ini telah pun menamatkan pelajarannya dalam bidang yang diminatinya dan kini memiliki pekerjaannya sendiri. Manakala yang bungsu masih di universiti untuk menghabiskan kuliahnya.

Ketika bertemu memang hanya pasangan ini berdua.

Kebanyakkan masa mereka habisi mengelilingi dunia. Sepanjang pengembaraan mereka, banyak mereka belajar tentang masyarakat setempat serta kehidupan. Kebebasan yang mereka kecapi menjadikan mereka selesa memilih hidup di tengah lautan dan kadang-kala berlabuh untuk merasai kehidupan darat serta membaiki kapal dan menambah bekalan sepanjang perjalanan.

Mereka melihat keindahan ciptaan Allah dari sudut yang berbeza. Dan kehidupan di tengah lautan pastinya menjadikan perjalanan kehidupan mereka lebih mencabar.

Lagi kisah pasangan ini boleh dibaca http://hackingfamily.com/

Teks oleh Azlina Hariri

Asif, Anak Syurga Yang Kembali Menemui Penciptanya

Alhamdulillah...

Pagi ini selesai bersahur, juga selesai solat subuh sendiri. Masuk si anak sambil bertuala.

"Adik, kiss ummi sikit".

Rutin apabila nampak kelibat si kecil.

"Bagusnya adik hari ni sahur, kenalah solat subuh. Orang Islam kena solat. Barulah Allah sayang banyak-banyak."

Adik tersenyum.

"Bila Allah sayang, tempat kita nanti mestilah di syurga". Sambung saya menguatkan hujah.

"Macam Asif ummi?"

"Mesti Asif seronok main macam-macam kat sana!" Sambung adik sambil tersenyum.

Saya turut tersenyum bersamanya. Mata mula berkaca, dalam diam saya berusaha menahan sebak. Setiap kali nama itu disebut, air mata gagal tertahan. Entahlah, mungkin mengenangkan bahagianya anak kecil itu bertemu Pencipta dalam keadaan tiada dosa.

Awal tahun ini, sudah beberapa kali adik memaklumkan tentang Asif. Katanya Asif dah tiada. Tanpa memahaminya dengan jelas adik sering mengungkap.

"Teacher kata Asif dah mati ummi." Kemudian menyambung bicaranya, "meninggal dunia".

Saya sendiri tidak pernah ambil pusing. Bagi saya itu mungkin gurauan di kalangan anak-anak kerana saya tidak pernah menduga anak itu diambil pergi.

Setelah beberapa kali adik mengulanginya, malah ada kawan adik yang mengiakan perkara ini, saya sendiri jadi ingin tahu. Akhirnya, semua persoalan terjawab setelah pertemuan dengan guru Mifdhal diadakan.

"Innalillah"...

Air mata tidak tertahan.

Tiba-tiba ada rasa bersalah dalam diri. Rasa seperti tidak mengambil berat langsung tentang suatu perkara.

Sampai hari ini, saya tidak tahu mengapa setiap kali nama itu disebut adik. Kolam air mata pasti pecah.

"Beruntungnya kamu wahai Asif".

Peristiwa pulang ketika mahu membeli goreng pisang di tepi jalan menjadi detik terakhir Asif bersama ibunya. Sebuah kereta yang entah dari mana munculnya, gagal menekan pedal break sehingga mencelakakan Asif dan ibunya dari belakang. Saat itu ibu Asif masih menghamili adik kedua Asif.

Akibat tragedi itu Asif pergi untuk selama-lamanya.

Ibunya juga bertarung nyawa kerana terpaksa melahirkan adik Asif akibat insiden itu. Adik Asif lahir dalam keadaan yang agak kritikal dan dirawat sepenuhnya oleh pihak hospital.

Kisah ini saya tahu daripada salah seorang bekas guru Asif.

Saya nukilkan kisah ini kerana ingatan dan kasih saya buat Mifdhal dan arwah sahabatnya, Asif. Secara peribadi saya tidak mengenali siapakah penghuni syurga ini. Tetapi daripada Mifdhal, saya begitu yakin bahawa Asif merupakan seorang anak yang taat.

Anak yang tiada dosa, tempat mu pasti syurga.

Azlina Hariri
Desa Alam

Ihsan

Mata itu sentiasa mengekori setiap perbuatan ku. Tidak beralih walau sedikitpun.

"Adal suka basuh pinggan". Terpacul suara kecil dari bibir munggil itu.

"Nanti bila Mifdhal dah besar semua kerja-kerja ni Mifdhal kena buat. Sekarang biar ummi buat dulu". Kata ku.

Mifdhal Muhammad!

"Betul ke ummi?" Sambungnya.

"Betul lah!" Celah Farah dari ruang tengah.

"Betul dik, semua kerja-kerja ni kerja boy, jadi boy kena buat". Tambah ku lagi.

Tugas mengemas, memasak, membasuh dan kebanyakkan tugasan mengurus rumah tangga adalah tugas seorang lelaki. Tetapi menjadi satu ihsan untuk mana-mana isteri untuk menggalas tugas-tugas ini.

Islam, iman dan ihsan.

Ihsan datang setelah seseorang itu kenal Islam dan yakin dengan keimanan yang dipegangnya. Setiap insan yang memiliki sifat ihsan pasti disayangi malah dihormati tanpa disedari. Sifat ihsan tidak boleh ditunjuk-tunjuk tetapi ianya adalah secara semulajadi di dalam diri seseorang individu. Ianya bukan satu sifat yang boleh dibuat-buat.

Sifat ini perlu dibentuk dan dididik dalam diri terutama anak-anak yang sedang membesar.  

Teks oleh Azlina Hariri

Kunjungan ke Johor Bahru

Akhirnya kami dalam perjalanan pulang meninggalkan Johor Bahru.

Seingat saya sudah hampir 10 tahun kami tidak menjejakkan kaki ke sini, setelah meninggalkan negeri selatan itu dahulu.

Peluang bercuti kali ini kami ambil ketat-ketat. Entah bila bakal berkunjung lagi. Dalam masa yang terhad saya cuba merancang sesuatu agar kedatangan kali ini memberi banyak manfaat. Selain bercuti kami memberi peluang anak-anak melihat keindahan dan perubahan besar yang berlaku di sini.

Sekarang berhenti seketika menunaikan solat jamak dan qasar sebelum sampai ke destinasi biasa kami. Saya sendiri mengambil peluang menaip sesuatu sebelum memori-memori indah berlalu pergi.

Dalam perjalanan pulang tadi, sempat kami singgah di Alor Gajah, Melaka, menikmati cucur udang Alor Gajah.

Pertama rasai cucur ini ketika belajar di Melaka, setelah tamat sekolah menengah. Cuaca terik hari ini membuat peluh-peluh jernih mula mengalir keluar sambil kami menikmati kesedapan rasa yang tidak pernah berubah.

Perjalanan percutian kami bakal berakhir. Esok rutin kehidupan biasa akan bermula. 

Kakak juga bakal menghadapi peperiksaan pertengahan tahun darjah enam.

"Sampai di rumah tidak mahu ke mana-mana", katanya.

"Mahu mengulangkaji!" Sambungnya lagi.

Perjalanan percutian kami berakhir di Shah Alam, tetapi perjalanan dalam kehidupan tidak akan pernah berhenti. Selagi bernafas, selagi itu kita perlu terus melangkah. Dari hari ke sehari. Sehingga sampai ke destinasi.

Teks oleh Azlina Hariri.
Foto koleksi peribadi.


Solat Hajat

Sambil menunggu dalam kereta saya sempat menulis sedikit.

Azan isyak berkumandang dari corong surau berdekatan. Sayup kedengaran. 

Asyik.

Malam ini di sekolah anak dilakukan solat hajat khusus untuk mendoakan anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan UPSR. Semua pihak yang terlibat sama berperanan bagi memudahkan urusan anak-anak yang bakal berjuang di medan peperiksaan september nanti.

Di siang hari, tadi anak-anak digalakkan berpuasa. Itu pilihan untuk mereka. Mahu atau tidak terpulang. Malamnya pula diadakan majlis iftar serta solat hajat dan doa selamat. Semua guru dan ibu bapa serta pelajar turut terlibat menjayakannya.

Alhamdulillah.

Semoga majlis ini diberkati-NYA.

Tuesday, July 8, 2014

Ini kisah Mifdhal

Ini kisah Mifdhal.

Saya tidak tahu kenapa saya berminat menulis tentang kisah ini. Sambil tersenyum satu-satu ayat saya susun.

Di belakang saya terbaring nyenyak kanak-kanak memakai t-shirt putih lusuh gambar 'transformer'.
Esok adik ada ujian kemasukan ke tahun satu tahun hadapan. Ujian penting bagi menentukan langkah kedua adik setelah mengakhiri sekolah tadikanya nanti.

Bila ditanya keterujaan adik jelas terpancar di wajah. Kegembiraannya menempuh peperiksaan esok benar-benar membuat saya, tuan suami dan kakaknya merasa kehairanan.

Semua orang pasti akan merasa tertekan setiap kali mendengar peperiksaan. Tetapi si kecil ini, sangat bersedia malah begitu teruja. Nyata adik belum kenal apa itu peperiksaan?

Petang semalam, ketika memberitahunya, adik malah bersorak keriangan sambil melompat. Lagak seorang akrobat.

Yang menjadi kerisauannya adalah, adakah dia mampu melakukan lompat tinggi nanti apabila dipilih memasuki sukan sekolah kakak?

Dalam hati saya tertawa kecil. "Adik, ummi puji semangat adik, tetapi apa yang penting usaha adik supaya dapat bersekolah di sekolah kakak."

Sewaktu pulang mengambil kakak dari sekolah. Saya lantas berkongsi cerita ini dengan anak perempuan saya itu.Kakak dan dua sahabatnya yang kebetulan bersama-sama kami di dalam kereta serentak ketawa. 

Adik seperti biasa. 

Tiada riaksi.

Kisah adik membuatkan saya kembali ke sini. Doa ummi adik berjaya esok. Kemungkinan besar ummi tidak bersama menghantar adik esok.

Tetapi kakak akan hadir bersama ayah.

Perjalanan adik baru bermula. Ummi sangat bangga dengan anak-anak ummi. Semoga seluruh anak-anak mempunyai semangat yang kuat untuk terus menyelusuri liku-liku kehidupan. Sabar dan syukur dua perkara yang perlu menjadi teman adik. Inshaallah ummi yakin dengan anak-anak ummi. Malah sangat bangga.

Teks oleh Azlina Hariri

Thursday, May 8, 2014

Azam

Bismillah...

Saya mahu kembali menulis. Tetapi keterbatasan masa menjadi halangan untuk saya terus fokus dalam penulisan. Walaupun hanya menulis di blog. Memandangkan saya seorang yang agak cerewet jadi setiap tulisan yang telah saya tulis, saya akan ulang baca beberapa kali dan beberapa pembetulan juga akan saya buat dari masa ke semasa.

Maklum lah menulis agak asing bagi saya.

Tambahan saya seorang suri rumah serta tidak mempunyai jadual khusus. Setiap hari rutin saya beredar sekitar menyelesaikan perkara-perkara asas yang sama seperti membasuh, mengemas dan memasak. Tetapi perkara-perkara lain biasanya adalah perkara tambahan yang akan saya buat apabila perkara-perkara asas ini diselesaikan. Memandangkan saya juga seorang yang mudah bosan jadi saya sentiasa pastikan rutin harian saya tidak sama setiap hari.


Itu kelemahan diri saya.

Kalau disorot setiap individu yang berjaya, mereka pasti memiliki jadual peribadi yang ketat dan tersusun. Malah mematuhinya dengan penuh disiplin. Inilah yang membezakan antara seorang individu dengan individu yang lain.

Disiplin!

Sesuatu yang kurang di dalam diri saya. Itu saya akui. Walau hakikatnya, disiplin ini telah lama saya cuba bentuk dalam diri seawal di bangku sekolah lagi. Setelah diamati masalah yang berkait dengan diri ini ada puncanya.

Matlamat.

Saya selalu tidak meletakkan matlamat yang jelas dalam diri saya. Sehingga kadang-kala, saya merasa sangat keliru untuk memberi keutamaan yang jelas dalam kehidupan. Setiap individu sepatutnya meletakkan satu atau dua matlamat yang jelas untuk dicapai dalam hari itu, minggu itu, bulan itu dan seterusnya. Setelah adanya matlamat, jadi diri dengan sendirinya dirangsang untuk mensasar matlamat yang telah ditetapkan.

Saya mudah mengambil contoh daripada seorang anak kecil. Bagaimana mereka ini mempunyai keazaman yang begitu kuat untuk mencapai apa yang mereka ingini. Bagi mereka tiada hari lain yang boleh dicapai melainkan hari itu. Mangantuk , penat, lapar bukan halangan, malah apa sahaja yang mendatang mereka tetap bangun.

Mereka redah setiap rintangan dan kesakitan sepanjang proses membesar. Saat itu minda mereka begitu segar. Tiada ketakutan, tiada perkataan tidak.

Fasa ini adalah satu fasa penting dalam kehidupan anak-anak. Waktu ini penting untuk ibu ayah menanamkan nilai yang positif dalam jiwa mereka. Kerja menakut-nakutkan bagi tujuan menyekat pergerakan serta aktiviti mereka tanpa sedar sebenarnya bakal menyekat berkembangnya imaginasi mereka. Di dalam pemikiran dhaif mereka akan hanya ada satu perasaan iaitu takut.

Memori ini akan selamanya melekat di bawah minda separuh sedar mereka. Mereka mungkin membesar menjadi seorang individu yang penakut. Takut untuk bersaing, takut untuk mencuba sesuatu, takut untuk meyuarakan sesuatu. Kesannya besar dalam diri si kecil.

Bebalik kepada diri saya sendiri.

Alhamdulillah...

Saya mampu menulis, kadang-kadang. Tetapi untuk kekal konsisten saya perlukan usaha yang lebih dan matlamat serta fokus.

Syukur.

Dia tidak pernah meninggalkan saya sendirian. Dia sentiasa ada untuk saya.

Saya yakin setiap di antara kita tidak pernah melalui kehidupan ini dengan mudah. Kejayaan itu sentiasa ada kita pahatkan dalam minda, sedar atau tidak. Setiap di antara kita mempunyai matlamat kejayaan yang berbeza. Walaupun kita lahir dari rahim yang sama, walaupun kita membesar di bawah bumbung yang sama, walaupun kita mendapat ilmu daripada guru yang serupa.

Tetapi yang pasti matlamat akhirat kita adalah sama. Biar siapa pun kita.

Jadi apapun matlamat yang disasarkan, pastikan matlamat itu mestilah cukup hebat. Dan kehebatannya, mestilah mampu memberikan kebahagian buat kita sebaik melangkah ke dunia sana.

Saya bukan siapa-siapa untuk memperkatakan tentang sesuatu. Setiap yang baik itu dari-Nya.

Teks oleh azLina Hariri.

Sendiri Pun Tidak Percaya.

Bismillah..

Alhamdulillah..segala puji-pujian buat-Nya.

Sudah masuk pertemuan ilmiah yang ketiga kepada kami, ahli-ahli tusuk jari.
Bermakna ilmu kami semakin mantap. Pertemuan ketiga ini melengkapkan lagi kebocoran-kebocoran ilmu yang berlaku sepanjang pertemuan pertama dan kedua.

Maksud lengkap di sini, bukanlah bermakna guru kami gagal pada pertemuan yang pertama dan kedua, tetapi ianya bermakna akal kami lebih menyimpan memori setelah tiga kali perkara yang sama diulang-ulang orang tenaga pengajar kami.

Selebihnya kami masih perlu praktis di rumah. Kekuatan mental dan fizikal amat diperlukan untuk memahirkan kemahiran ini. Memang diakui lenguh dan sedikit kebas ibu jari malah seluruh anggota badan terutama bagi golongan amatur seperti kami.

Pada pertemuan kali ini saya berjaya merakamkan video melalui telefon bimbit hampir keseluruhan perjalanan proses pembelajaran kami. Segalanya telah diringkaskan dan telahpun dimuat naikkan ke grup whatsapp kami.

Rakaman itu boleh diambil sebagai sumber rujukan.

Untuk permulaan tusuk jari, tenaga pengajar amat menggalakkan kami untuk sekurang-kurangnya melakukan latihan ke atas seratus orang peserta. Kami juga digalakkan mengadakan buku catatan setiap kali tusuk jari dijalankan. Ianya bertujuan untuk menjadikan kami benar-benar lali dengan ketidakselesaan, kesakitan, kesengalan dan juga fisio tubuh badan penerima nanti.

Sebenarnya tusuk jari bukanlah sesuatu yang berat. Tetapi, untuk memahirkan sesuatu, kerja keras perlu dilakukan. Untuk saya banyak latihan bagi mengingati pergerakan-pergerakan asas saya lakukan ke atas ahli keluarga sendiri. Dan ternyata seluruh kelurga kecil saya amat menanti-nantikan saya melakukahn aktiviti ini kepada mereka.

Kesan yang amat ketara setelah tusuk jari dilakukan ke atas anak-anak mereka pasti terus terlena dan bangun keesokkkan paginya. Malah mereka merungut seolah umminya tidak melakukan tusuk jari kepada mereka. Tersenyum saya. Mujurlah struktur tubuh mereka itu kecil dan hanya memerlukan tekanan yang sederhana. Kalau tidak, bolehlah saya tunjukkan kesannya ke atas ibu jari saya. Itupun kalau masih berbekas.

Bagi saya setiap yang baik itu adalah suatu ilmu yang bermanfaat dan boleh dimanfaat kepada orang lain. Saya juga seorang yang sangat selesa bila dilakukan urutan ke atas badan. Jadi tidak menjadi masalah bagi saya untuk mencuba memahirkan sesuatu yaang berbeza. Dan ternyata tusuk jari menawarkan sesuatu yang berbeza daripada urutan Melayu biasa.

Bagaimana bezanya?

Hubungi saya untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut.

Terima kasih.

Teks oleh Lina Hariri.

Tuesday, March 4, 2014

Jerebu

Musim berganti musim. Denggi pergi membawa seribu satu cerita disebaliknya. Dan yang paling menggetarkan jiwa, pulangnya seorang sahabat ke pangkuan Penciptanya, yang pernah sekali saya berbual-bual dengan beliau. Kami semua mendoakan arwah tenang di sana.

Suasana kini bertukar. setelah rata-rata mula membisikkan tentang situasi cuaca panas membakar tanpa titis-titis hujan, kini jerebu mula mngambil tempat di setiap penjuru angkasa negara kita.

Setakat hari ini bacaan indeks udara semakin membimbangkan. Dan pembenihan awan telahpun dijalankan.

Dari satu ujian ke satu ujian yang lain. Ujian atau musibah terpulang kepada kita mahu menafsirkan nya sebagai apa. Peringatan buat diri kita sebagai hamba-Nya dan juga peringatan kepada kita dari alam.

"Aku semakin nazak".

Kempen hijau perlu dipergiatkan. Apatah lagi sebagai Muslim sepatutnya kita lebih berperanan. Rata-rata di negara luar telah lama memulakan kempen ini bermula dari rumah, persekitaran, komuniti akhirnya sebuah kerajaan.

Kesedaran.


Memanfaatkan ruang.

Ya, itu yang masih kurang buat kita. Di bandar-bandar besar contohnya, jumlah pengeluaran hari-hari karbon monoksida dari asap kenderaan sudah pasti bukan sedikit. Malah sedikit sebanyak memberi kesan kepada hutan yang semakin lama semakin terkorban.

Penanaman pokok di tengah-tengah bandar patut terus dilaksanakan. Penggunakan kenderaan 'hybrid' patut digalakkan. Penambahbaikan dari segi kenderaan awam juga perlu kerana ianya mampu mengurangkan kesesakan lalulintas hari-hari. Sekali gus mengurangkan pencemaran udara. Di samping meminimakan penggunaan beg plastik oleh isi rumah.

Banyak.

Banyak lagi yang boleh diubah dalam kehidupan sehari-hari sekiranya kita mahu dan mengambil tahu.

Selain usaha doa juga perlu seiring. Semangat kehambaan juga perlu dipertingkatkan oleh semua Muslim supaya doa-doa termustajab.

Saya sekadar meluahkan rasa, bukan mahu menyalahkan mana-mana pihak. Mungkin telah ada pihak yang berperanan dalam melaksanakan kempen hijau untuk diri dan keluarga. Saya puji tindakan mereka. Buat kita yang belum inshaallah mari sama-sama kita berusaha.

Berhenti mengeluh. Lakukan sesuatu.

Teks oleh Azlina Hariri.
Imej koleksi peribadi.

Monday, February 3, 2014

Pulau Indah

Masyaallah. Pulau Indah seindah namanya.

Cantik.

Kami sekeluarga menerima jemputan undangan walimah urus seorang sahabat di Pulau Indah. Nama Pulau Indah selalu dibaca setiap kali melalui Lebuhraya Kesas. Tertera di papan tanda.

Tetapi ini kunjungan pertama kami ke sini.

Lebih mengharukan sesampainya kami, kelihatan seseorang yang telah sangat lama tidak bertemu. Jiran kami sewaktu kami di Johor. Suasana menjadi suram seketika. Hampir berjurai airmata kami kerana tidak sangka Dia atur pertemuan kami di situ.

Sedih gembira bercampur baur. Sempat kami berbual ala kadar sebelum mereka berangkat pulang. Subhanallah.

Kami menjamu selera di dewan yang telah dihiasi indah.

Setelah bersalaman dengan pengantin dan keluarga, kami memacu kereta putih kami menjejaki laut Pulau Indah.

Waktu hampir memasuki waktu asar sewaktu kami sampai di tepi laut. Jadi kami tidak lama di situ.

Angin bertiup begitu mendamaikan, panas mentari masih agak terik. Kami mengambil tempat yang teduh di bawah pohon-pohon yang agak rimbun.

Kawasan antara pasir memutih dan lumpur. Kelihatan anak-anak ketam keluar berkeliaran dari lubang tempat mereka bersembunyi.

Anak ketam.

Anak nampak gembira.

Sempat bermain pasir.

Mereka bermain-main pasir dalam kawasan yang amat terhad. Sambil meninjau-ninjau anak-anak ketam yang mula-mula takut untuk menunjukkan diri.

Di sini ramai yang datang untuk memancing. Cuaca petang yang amat mendamaikan. Tiada hiruk pikuk suasana kota.

Di kawasan kami berdiri memang tidak sesuai untuk bermandi manda. Keadaannya berlumpur dan kedudukan yang curam. Kami hanya memandang laut luas tanpa dapat menyentuh airnya. Cukuplah dapat mencuci mata.

Teks oleh Azlina Hariri.
Imej koleksi peribadi.

Bahaya kosmetik

Sesekali jari ini tersentuh sesuatu.

Sesuatu yang setiap kali disentuh jari itu sakitnya terasa di hati.

Ketika itu saya baru selesai praktikal di Kelantan. Kami kembali berkampung di Lendu. Menyiapkan naskah yang perlu dihantar sebagai markah lulus untuk ujian praktikal kami.

Tiba-tiba teringat saya pada seorang sahabat yang sama-sama, malah lebih banyak menyumbangkan idea untuk menyiapkan kertas kerja kami waktu itu.

Nini.

Entahlah bukan salah cuacapun, tetapi mungkin keadaan pejabat waktu itu di mana bilik yang kami tempati itu sedikit berhabuk. Dan tanpa sedar kulit saya ini agak sensitif. Tambahan dioles dengan krim pelembab untuk melembabkan kulit. Berlaku sedikit reaksi seperti gatal-gatal pada awalnya.

Selang beberapa lama kulit yang sememangnya tidak berapa mulus ini dinaiki jerawat. Bukan sedikit, banyak. Bukan halus-halus sehingga sakit mata yang memandang. Dari jauh sahaja sudah kelihatan.

Masalah saya memang satu. Suka mencuba sesuatu yang baru. Sebenarnya saya  miliki kulit normal dan kering. Tiada masalah jerawat. Cuma warnanya kusam dan kekeringan serta mudah kelupas.

Tertekan.

Malu.

Bingung.

Akhirnya dengan kedangkalan yang sangat nyata saya mula terpengaruh dengan produk di pasaran yang mampu menghilangkan jerawat, malah memuluskan kulit.

Saya bermula dengan Citra Ayu. Diikuti beberapa produk yang seakan-akan dengannya.

Kesannya jerawat mengecut dan hilang parutnya sekali. Licin. Hati mula berbunga-bunga. Cuma setiap kali berada di bawah terik mentari kulit terasa bagai dibakar. Memang merengsakan. Lama-lama terasa semakin menyakitkan.

Memang waktu itu pengetahuan tentang penjagaan kulit hampir kosong.

Sebelum habis set percubaan itu saya mula menukarkan ke produk yang lain yang pada anggapan diri ianya lebih ringan. Tetapi hakikatnya produk itu masih mengandungi kimia berat yang sama cuma dalam kuantiti yang kurang sedikit.

Sehingga sampai satu waktu saya benar-benar mengambil berat tentang apa yang saya oleskan ke kulit. Saya mula mencari maklumat yang berkaitan. Dari internet, majalah dan melalui konsultasi.

Semakin hari semakin banyak maklumat yang saya dapat. Saya semakin peka dan mula berhati-hati dalam membeli . Setiap kandungan di label saya teliti satu-satu. Ada yang saya maklum ada yang langsung tidak pernah didengari.

Mana-mana kandungan yang saya tidak biasa dengan namanya, saya akan membuat carian di internet. Sehingga saya rasa yakin dengan sesuatu baru saya membuat pembelian.

Selain penjagaan kulit, penjagaan badan juga saya ubah sedikit demi sedikit. Terutama untuk anak-anak.

Untuk penjagaan wajah saya menggunakan Jerneh daripada Sheila Majid. Memang dari segi kos ianya lebih mahal berbanding produk lain tetapi dari sudut jaminan kualiti dan kepuasan, inshaallah.
Bagi yang berminat boleh menghubungi saya atau melayari http://www.jernehbysheilamajid.com/.

Sukin dari Australia juga menawarkan rangkaian penjagaan untuk muka dan keseluruhan badan. Untuk rangkaian produk daripada sukin boleh ke http://www.sukinorganics.com/.

Contoh barangan keluaran Sukin.

Bagi penjagaan gigi boleh memilih 'pureen maternity toothpaste'.Di bawah label Pureen.

Masyarakat hari ini mula mengambil berat tentang bahaya kosmetik dalam kehidupan harian.

Sesuatu yang dioles di kulit setiap hari perlu diambil tahu kerana kesan penggunaannya tidak akan terlihat dalam masa yang singkat. Tetapi sebenarnya ia memakan secara senyap dan memberi kesan kepada sistem badan kita.

Teks oleh Azlina Hariri
Imej dari www.sukinorganics.com

Wednesday, January 29, 2014

Galakan

Assalamualaikum.

Kali ini semangat menulis datang satu-satu. Alhamdulillah, syukur.

Tidak selalu peluang ini tiba. Menjeling ke sebelah sahaja kelihatan timbunan kain minta dilipat. Buat-buat tidak nampak sahaja.

Yang penting saat ini idea sedang berlegar-legar di benak fikiran. Segar bugar. Apa lagi laju sahaja jari ini menekan.

Selain diri, kakak juga turut ku giatkan untuk mula menulis. Bukan menulis yang berat-berat. Sekadar berkongsi cerita suka duka, tawa menangisnya bersama adik, sepupu, teman dan apa yang disentuhnya dengan hatinya.

Selain menggalak minat, menulis mampu menjadikan dirinya seorang yang kritis. Biarlah bermula menulis seperti keanak-anakkan, seperti apa yang kubuat. Lama-lama, inshaallah.

Nyata kakak juga ada kecenderungan disitu, cuma kekangan masa. 

Tahun ini kakak bakal menduduki penilaian darjah enamnya dan peperiksaan untuk sekolah-sekolah agama di bawah kerajaan negeri.

Tidak lama lagi jadual persekolahannya menjadi semakin padat. Kasihan anak-anak hari ini. Semakin dirobotkan pemikiran dan dipenjarakan tindakan. Semakin didonut dan dibonzaikan.

Terpenjara.

Entahlah sukar. Kalau menolak nanti kasihan dengan kesan yang bakal diterima kakak. Dia mempunyai satu impian yang cukup besar. 

Mahu tidak mahu ikutkan sahaja. Memang sistem pendidikan telah menetapkannya begitu. Bukan juga mahu menyalahkan sistem.

"Entahlah"...

Hilang kata-kata.

Kami tidak memberi tekanan yang berat buat dirinya. Kami memberi panduan dan pilihan untuknya. Kami juga berusaha memberi sokongan dan rangsangan yang sihat dari masa ke semasa.

Inshaallah dengan izin dari-Nya kakak mampu menghadapi apa sahaja. Juga buat semua teman-teman seperjuangan kakak. 

Semoga semuanya diberi kekuatan fikiran dan kecekalan hati.

Teks oleh Azlina Hariri.
Imej koleksi peribadi.

Tusuk Jari

Alhamdulillah.

Semua telah kembali berkumpul di rumah setelah tuan doktor membenarkan tuan suami untuk keluar. Kakak dan adik sangat gembira. Awal-awal lagi mereka telah bersiap untuk menjemput ayah mereka.

Bacaan darah sebelah pagi menunjukkan peningkatan sehingga mencecah 70. Tuan suami kelihatan sihat dan tidak lagi mengalami simptom-simptom berat. Tuan doktor begitu berpuas hati.

Setelah makan tengahari, darah diambil sekali lagi. Prosedur biasa sebelum mahu dilepaskan keluar. Bacaan sedikit menurun. Kadar penurunan yang amat kecil.

Memandangkan kadar penurunan yang kecil tuan doktor tetap membenarkan tuan suami keluar petang tadi. Alhamdulillah, bolehlah kami sama-sama memantau keadaan kakak di rumah.

Seusai solat maghrib saya melakukan tusuk jari ke atas tuan suami.

Tusuk jari ialah satu seni menekan menggunakan ibu jari ke atas titik-titik istimewa pada bahagian tertentu di badan bagi melepaskan sekatan tenaga. 

Gambar sekadar hiasan. Tekanan lembut ke atas bayi.

Tenaga yang tersekat ini boleh menyebabkan sakit badan, keletihan, panas dalam, masuk angin serta menyumbang kepada tidak sihat. Tujuan tusuk jari dilakukan ialah bagi membantu mengekal, menjaga serta memulihkan tahap kesihatan tanpa pergantungan kepada ubat-ubatan.

Sempat terlena tuan suami ketika proses tusuk jari dilakukan. Lega barangkali memandangkan sepanjang berada di hospital tidurnya tidak lena bimbangkan si kakak di rumah.

Semoga Dia terus memberi kekuatan buat kami dan semua yang melalui fasa yang sukar dalam kehidupan.

Teks oleh Azlina Hariri. 
Imej kredit kepada photobucket.com

Bahaya Nyamuk Aedes

Segala Puji-pujian buat-Nya.

Pagi ini bintik-bintik merah mula mengambil tempat di bawah kulit kakak. Sejak malam tadi kakak kelihatan sangat sedih. Bunyi esakan sesekali menyedut hingus kedengaran. Lebih jelas tika kakak sedang solat.

Sekembalinya kami sebaik meninggalkan tuan suami 'warded' di hospital berseorangan.

Adik juga sebaik sampai di rumah setelah mengemas diri, menutup sedikit pintu. 

"Mungkin kesan dimarahi tadi kerana mahu bersama ayahnya kut," fikirku. 

Ku selak sedikit daun pintu bilik adik. Kelihatan dia malu-malu alah sambil membentang sejadah setelah lengkap berkopiah putih kesukaannya.

"Adik buat apa?" 

"Solat". Balasnya. 

Semasa ber'whatsapp' dengan tuan suami tadi katanya ada air jernih mengalir turun dari mata adik. Waktu menyalami ayahnya sebelum ciuman selamat tinggal.

Mungkin ingin memanjatkan doa buat si ayah. Aku tidak bertanya lanjut. Ku biar adik dengan solatnya. Seusai solat adik sudah berselimut di katil untuk tidur. 

Begitulah adik, waktu tertentu sahaja dia memilih untuk solat. Perlahan-lahan. Memberi ruang untuk dia faham agama itu bukan satu ritual. Tetapi agama adalah cara hidup. Semakin besar semakin faham. Itulah harapan kami.

Cuaca sejuk, berangin dan langit seolah-olah dilitupi jerebu itu benar membantu aktifnya penghidupan makhluk kecil bernama 'aedes'. 

Aedes.
 

Tambahan di blok sebelah kediaman kami sejak sebulan atau lebih berlaku kebocoran kepada sistem pembentungan. Surat khabar juga sudah memaparkan kisah ini, namun pihak pemaju membatu, diam seribu bahasa. Mujur ada warga perihatin yang mengambil inisiatif menutup sementara kawasan takungan air sementara menunggu pihak bertanggungjawab menyelesaikan amanah.

Bukan mahu menyalahkan sesiapa dengan musibah kecil yang berlaku. Tetapi kejadian di atas menyebabkan ramai penghuni di kawasan sekitar terusik dan ada yang dijangkiti demam denggi.

Kebetulan banyak hospital berbayar di Shah Alam menolak pesakit kerana wad penuh. Manakala, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pula wad satunya bertukar menjadi wad denggi. Memang aedes sedang mengganas.

Kakak hanya dirujuk ke klinik dan kami membuat pemantauan dari rumah sahaja. Lama juga kakak tidak ke sekolah. Kawan-kawannya sudah menanyakan situasi dirinya. Kakak masih mengatakan demam biasa. Doktor yang dirujuk juga sukar mengesahkan situasi kakak. Sama ada dihinggapi denggi atau campak? Terdapat bintik-bintik merah di bawah kulit, namun bacaan platheletnya normal.

Alhamdulillah, syukur kakak dan tuan suami gigih menahan jangkitan kali ini. Penawar homeopathi telah diambil kakak semenjak hari pertama muncul simpton. Tuan suami agak lewat. Air putih banyak diambil oleh kakak selain madu untuk membekalkan sumber tenaga.

Tuan suami sebagai tambahan megambil sebotol besar minumam 100 plus dua hari lepas, dan sempat menghirup sup ketam sebelum warded tadi akibat bacaan plathelet sekitar 45. Doktor mahu membuat pemantauan. Terakhir, sebelum kami pulang air sedang di masukkan ke badan tuan suami.

Demam yang lama boleh membantutkan selera makan, seterusnya menjadikan diri semakin hari semakin lemah sekiranya tiada cecair dan makanan memasuki tubuh.

Saya bukan pakar untuk bercerita tentang denggi. 

Selain minuman 100 plus. Saya tidak mencadangkan untuk kanak-kanak. Sup ketam juga amat digalakkan. Saya menyediakan hidangan bubur kacang dengan sedikit hirisan halia juga mereneh barli untuk dibuat minuman. Sambil-sambil mengintai air kelapa muda untuk dijadikan minuman tambahan. Ianya isotonik semulajadi selain madu dan jus buah-buahan. Inshaallah lebih selamat.

Ini merupakan serangan kedua buat kakak dan tuan suami. Dan semua dipermudahkan oleh-Nya kerana serangan pertama sudah memakan masa yang lama dan tidak memberi mudarat apabila berlaku serangan kedua. Sebagai persediaan berjaga-jaga kami masih memantau kawasan dalam rumah agar tidak dilawati oleh mana-mana nyamuk. Kelucuan bunyinya tetapi itulah hakikatnya. 

Ini menjadi pengajaran buat kami supaya sentiasa bersedia dalam apa jua situasi dan ianya adalah juga tanda dari-Nya. Bagi sahabat yang sedang bertarung dengan situasi yang sama pastikan ada cairan yang memasuki badan. Kuatkan semangat.

Teks oleh Azlina Hariri.
Imej daripada photobucket.com

Monday, January 27, 2014

Pertemuan kedua

Alhamdulillah...

Hari ini telah berlangsung pertemuan ilmiah tusuk jari kali kedua. Kali ini bertempat di rumah tuan guru sendiri. Berkampung kami di sini melebihi tiga jam.

Banyak ilmu yang dititipkan buat kami. Banyak juga ilmu rahsia yang kami berjaya bongkarkan hari ini. Tidak rugi menuntut ilmu daripada mereka yang arif dalam bidangnya.

Pembelajaran hari ini berkisar sekitar betis, iaitu bahagian bawah badan sehingga ke telapak kaki. Seperti semalam terdapat titik-titik khusus yang perlu ditekan bagi tujuan meredakan tekanan kepada penerima.

Tunggang-langgang jugalah ilmu di dalam kepala kami hari ini. Sudah semakin bercampur aduk bila dicampur dengan input semalam.

Contoh tekanan menggunakan jari jemari.

Latihan amat dititik beratkan. Latihan yang konsisten mampu menjadikan sesiapa sahaja menjadi cekap dengan kemahiran yang dimiliki olehnya.

Inshaallah akan berlangsung lagi dua pertemuan ilmiah dan kami amat berharap dapat memahirkan teknik tusuk jari ini.

Teks oleh Azlina Hariri.
Imej photobucket.com

Sunday, January 26, 2014

Tusuk Jari Pertama

Segala puji-pujian buat-Mu yang mempermudahkan pertemuan kami hari ini.

Hari ini merupakan  pertemuan ilmiah pertama yang kami namai Tim Tusuk Jari.

Tusuk jari? "Apa tu?"

Ia merupakan satu kaedah unik yang menggunakan ibu jari untuk menekan titik-titik tertentu di bahagian badan seseorang. 

Saya tidak mampu mengulas panjang di sini kerana ini merupakan pertemuan pertama dan maklumat yang saya miliki amat terhad.

Tuan guru sedang menunjuk cara ilmu tusuk jari.

Hari ini kami diajar mengenali beberapa titik penting di bahagian belakang badan. Tuan guru telah menunjukkan teknik menekan titik yang tepat. Kemudian kami bergilir-gilir mengaplikasikannya.

Di rumah juga kami digesa untuk meneruskan latihan hari ini.

Suami dan kedua anak saya malam ini telah selamat menjadi 'tikus putih' saya. 

Alhamdulillah, dalam keadaan ketiga-tiganya yang tidak sihat mereka masih mampu memberi sepenuh komitmen dalam membantu saya meneruskan usaha murni ini.

Tusuk jari amat bagus diterapikan kepada individu yang sihat dan juga dalam kondisi yang tidak sihat.

Latihan terapi tusuk jari pagi tadi menumpu kepada tulang belakang yang melibatkan organ peparu, jantung, hati, perut, usus kecil, usus besar dan buah pinggang.

Sehari selembang benang, lama-lama menjadi kain

Semoga saya istiqomah dalam usaha kecil ini dan mampu memanfaatkan untuk diri dan orang lain. Inshaallah.

Teks oleh Azlina Hariri.
Imej koleksi peribadi.

Wednesday, January 22, 2014

Tanpa Suara

Bismillah...

Saat saya menulis ini saya sedang menunggu melakukan sesuatu. Kedengaran azan berkumandang di corong radio, juga kedengaran sayup-sayup dari surau berdekatan. Yang pasti saat ini hati berbunga keriangan.

Inshaallah seusai solat isya' kami sekeluarga akan bergerak pulang ke kampung. Lama sudah tidak menjenguk ibu dan saudara di kampung. Apa khabar agaknya mereka di sana?

Semuanya begitu mengujakan.

Sekiranya aliran lalulintas baik menjelang malam sampailah kami ke destinasi. Inshaallah segalanya dengan keizinan-Nya. Semoga perjalanan kami dipermudahkan.

Hari ini juga merupakan hari istimewa untuk anak bongsu kami. Genap lima tahun usianya. Bermakna sudah lima tahun dirinya membahagiakan kami sekeluarga. Hadiah buatnya biasa-biasa sahaja. Hanya sebiji kek. Dan dia kelihatannya sangat gembira.




Alhamdulillah, kami dikurniai dengan anak-anak yang cerewetnya sangat kurang. Jarang mereka meminta-minta sesuatu yang di luar kemampuan kami. Tidaklah sukar sangat menguruskan mereka. Cuma kadang-kala mereka juga seperti kanak-kanak lain, meminta apa yang berkenan di hati.

Terutama yang bongsu. Mungkin faktor umurnya yang muda, jadi dia masih belum mencapai suatu tahap kematangan akal fikiran. Sekiranya permintaannya untuk membeli sesuatu yang kadang-kala sangat tidak munasabah. Dia mudah merajuk dan berkecil hati.


Apa yang selalu kami lakukan biarkan dia bertenang dahulu. Maksudnya membiarkan dirinya dengan rajuknya, tanpa melayan keinginannya yang sedang memuncak itu. Dan kami segera beralih ke tempat lain. 

Apabila rajuknya semakin reda saya atau suami akan cuba menerangkan tentang mengapa berlakunya penolakan di situ. Cuma, sekiranya permintaannya munasabah dan boleh diterima serta mampu untuk ditunaikan. Bisa sahaja dia memilikinya.

Kakak dan adik mempunyai karektor yang berbeza. Mungkin faktor jantina serta cara didikan yang diberikan. Semakin meningkat umur seorang ibu, semakin matang jugalah dirinya menghadapi sesuatu isu.

Tiada benar atau salahnya dalam mendidik anak-anak. Memang sebagai ibu dan ayah kita perlu ada garis panduan dalam mentarbiah mereka. Dan cara didikan yang terbaik sepanjang sejarah kehidupan manusia adalah cara didikan yang pernah dipaparkan oleh Nabi Muhammad [s.a.w] sendiri. 

Pastikan dalam kesibukan masa dan keterbatasan waktu kita berusaha untuk memperuntukkan sedikit masa untuk mencaritahu ilmu tentang keibubapaan.

Banyak medium yang ditawarkan untuk kita pilih hari ini. Cuma perlu dipastikan kesahihan suatu maklumat. Supaya maklumat itu menjadi satu ilmu yang mampu kita kuasai seterusnya diamalkan.

Ilmu tanpa amal adalah sia-sia.

Manakala beramal tanpa ilmu adalah gila. 

Penulis Azlina Hariri.
Imej ihsan Mr Google.

Gusar

Dengan nama-Nya Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Lamanya rasa tidak menjenguk di sini.

Lama juga rasanya tidak melakarkan sesuatu.

Tiba-tiba segalanya ku rasakan mati.

Keliru dengan apa yang dirasakan saat ini. 

Lama masa diambil untuk kembali ke sini.


Buih-buih di lautan.

Setiap kali mahu menjengah ke sini, hati bagai meronta-ronta agar jari tidak berkongsi sesuatu. Semakin rancak jari menari, semakin banyak keburukan diri terungkai.

Tetapi jauh di sudut hati, melakar tulisan di sini paling mengembirakan diri.

Banyak yang berlaku semenjak anak-anak kembali ke sekolah. Masa tidur di kala dhuha semakin sukar. Mana mahu dikejar mengemas, menghantar si anak ke tadika dan mana mahu ke pengajian tidak rasmiku pagi-pagi.

Kadang-kala semangat maha dasyat timbul. Awal-awal lagi segalanya sudah diselesaikan. Sebelum mengunci pintu meninggalkan rumah. Menghidupkan enjin melaksanakan amanah.

Namun selalunya situasi amat tunggang langgang. Anak bongsuku selalu terlepas berjemaah dhuha di tadikanya. Gara-gara ibunya yang selalu gagal menguruskan masa dengan efisen. Memang pengurusan masa yang dari dahulu lagi menjadi masalah buat diri.

Malam ini, jari kembali menekan satu-satu papan kekunci. Tuk tuk bunyi ketukan lewat heningnya malam. Banyak yang bermain di fikiran, banyak juga yang mahu disampaikan. Takut-takut ini hanya satu luahan perasaan yang membuatkan semua kebosanan kelak.

Wallahua'lam.

Penulis Azlina Hariri.
Imej koleksi peribadi. 

Saturday, December 21, 2013

Aku Dan 'Foot Patch'

Hari pertama penggunaan, terkial-kial mahu menampal 'foot patch' di telapak kaki. Malah siap terkoyak 'foot patch' itu dikerjakan. Lucu apabila terkenangkan momen itu.


Ini bukan kaki saya...'Foot image by Ingrid Walter from Fotolia.com'

Tetapi malam berikutnya segalanya menjadi lebih mudah. Ianya memerlukan sedikit latihan dan teknik yang tepat supaya gam di kertas melekat di kaki dan bukannya di tangan. Ketika menanggalkannya juga perlu dipastikan agar gam tertanggal keseluruhan kerana memudahkan air wudu' mengenai kawasan sekitar telapak kaki.

Kenapa 'foot patch'?

Saya orangnya yang akan menolak segala macam perkara yang tidak relevan dan tiada memberi kesan yang logik menurut pendapat peribadi saya.

Tetapi pembacaan yang dibuat menyebabkan saya sendiri mengambil keputusan untuk merasai sendiri kesan penggunaannya. Mana tidak dengan hanya menampalkan sachet putih berisi serbuk ke bawah telapak kaki mampu membuang toksin yang ada di dalam badan.

Mahu percaya atau biarkan ianya menjadi satu tanda tanya?

Tidak salah kalau mencuba. Dan, saya yakin ianya tidak mendatangkan mudarat yang besar.

Kesannya pada penggunaan pertama 'foot patch' sehingga malam berikutnya sama.

"Erk, kotornya!"

Saya sendiri tidak pasti adakah kekotoran itu toksin atau peluh yang menjadikan ianya bertukar warna.

Kesan?

Sepanjang empat malam penggunaan terasa lebih mudah bangun serta kurang malas. Mungkin persepsi yang saya sendiri letakkan. Malah sengal sekitar tumit kadang-kala terasa kurang.

Hakikat

Tetapi sebenarnya tujuan penampalan di telapak kaki dibuat adalah kerana saya mengharapkan berlaku sedikit pengurangan kepada beban yang ditanggung oleh tubuh akibat berat yang melampau. Sangat tidak logik!

Tetapi kerana rasa was-was dengan hasil sendiri, saya menampal 'foot patch' ke telapak kaki anak-anak. Melihat kesannya, malah lebih teruk, basah serta bertukar menjadi warna hitam. Logiknya, semakin muda seseorang semakin kurang kadar toksinasinya. Tetapi keputusannya berbeza. Di situ sudah menunjukkan sesuatu yang boleh dipertikaikan. 

Menurut pandangan peribadi saya, 'foot patch' sebenarnya memberi kesan berbeza-beza kepada seseorang. Adalah perlu dan tidak perlu untuk menggunakannya bergantung juga kepada siapa individu itu.

Cadangan 

Sebenarnya toksin boleh disingkirkan dengan cara pembuangan najis dan perpeluhan. Adalah perlu untuk mengambil makanan yang menyihatkan dan segar. Minum banyak air putih. Berhenti atau kurangkan pengambilan makanan ringan yang mengandungi banyak perisa serta pewarna tambahan. 

Pilih rangkaian penjagaan kulit yang bebas kimia berat. Pastikan paling asas tidak mengandungi paraben, sulphate, EDTA, minyak mineral, propylene glycol, aluminium dan beberapa kimia lain. Sekiranya tidak menjadi beban gunalah bahan organik dan pastikan membaca label kandungan sebelum membeli atau menggunakannya. 

Berhenti merokok. Sekiranya tidak mampu, berhenti daripada membeli dahulu. Hisaplah rokok milik kawan-kawan, sekiranya kita tidak memiliki sifat malu.

Diri kita hari ini adalah milik kita, tetapi sampai masanya ianya akan dipulangkan kembali kepada pemilik abadi. Tulisan ini adalah pendapat peribadi saya sahaja. Terima kasih.


Teks oleh Azlina Hariri.
Imej kredit photolia.com

Friday, December 20, 2013

Mendorong Dengan Teknik Nabi

Subhanallah.

Maha Suci Allah yang tidak terikat dengan hamba-hamba-Nya.

Syukur sangat. Itu sahaja yang mampu diucapkan di bibir setelah Dia menyampaikan hajat di hati.

Saya tidak ingat bila pertama kali saya perasan wujudnya teknik mendorong pelajar mengikut cara Nabi. Tetapi saya sedar teknik itu diperkenalkan oleh Puan Ainon dari ABS dan dikaji oleh Tim Hadith Psikologi bahagian pendidikan yang dibentuk oleh beliau.

Apa yang menjadikan saya begitu teruja untuk mengikuti perkembangan kumpulan ini adalah kesan, setelah guru-guru yang mendapat latihan terus dari Puan Ainon mengguna pakai teknik tersebut di sekolah-sekolah mereka. Berlaku perubahan yang sangat positif terhadap anak-anak didik mereka.

Saya sangat kagum. Bukan mudah mahu merubah manusia. Dan ianya bukan kerja sehari, juga menuntut seluruh kesabaran bagi yang ingin melakukannya.

Seperti yang diceritakan di awal tadi, saya sering terlepas peluang untuk mengikuti program yang dijalankan. Selain pertembungan masa, tempat yang jauh dan faktor bayaran juga antara penyebab yang menolak untuk saya bersama menyertai program itu.

Tetapi, Maha Suci Allah yang setiap saat mendengar rintih hati seorang hamba yang begitu ingin berubah. Mahu mengubah diri menjadi lebih baik dari semalam dalam mendidik amanah yang dipinjamkan-Nya. Mampu atau tidak itu soal kedua.

Mahu dijadikan cerita. Saya terserempak dengan Puan Khairulaniza atau Cikgu Kay di Sacc Kovensyen Center, Shah Alam semasa Malaysian Islamic Children Fair. Cikgu Kay adalah salah seorang anak didik Puan Ainon dan seorang guru yang mengguna pakai teknik Nabi dalam mendidik para pelajar beliau di Gopeng, Perak. Beliau juga menngadakan kembara amal bagi menyampaikan teknik ini kepada orang-orang seperti saya. Terdapat juga beberapa sahabat beliau yang sama berjihad di bidang ini.

Puan Guru Khairulaniza boleh dihubungi di 'facebook' beliau www.facebook.com/khairulaniza.khairuddin dan blog beliau
http://khairulaniza.blogspot.com/.

Poster dari FB.

Kami sempat berbual-bual ketika dalam perjalanan pulang. Dan menurut beliau waktu itu, beliau sedang dalam perancangan untuk membuat 'tour' bagi teknik mendorong pelajar pada musim cuti sekolah 2013 nanti. 

Akhirnya saya mendaftar melalui sms setelah program 'tour' beliau tertera di 'wall' mukabuku saya. Dan satu lagi keajaiban muncul. Ketika pendaftaran saya tidak perlu membayar malah boleh membawa seorang lagi teman kerana peserta terawal yang telah membuat pembayaran tidak dapat menghadirkan diri. Beliau menginfakkan bayarannya untuk peserta lain yang mahu hadir. Jutaan terima kasih untuk puan yang baik budi. Semoga sentiasa dalam Rahmat-Nya.

Berada dalam program itu banyak ilmu baru yang ditimba. Walaupun terdapat beberapa teknik yang sudah biasa saya baca, tetapi apabila mendapat nasihat terus daripada puan guru, kefahaman itu lebih jelas. Saya nekad untuk mengaplikasikan teknik ini sedikit demi sedikit. Sekurang-kurangnya satu. Itu lebih baik daripada tiada apa-apa langsung. 

Sebagai ibu saya akui saya banyak menggunakan kuasa besar ke atas anak-anak saya. Dan situasi itu sudah agak sebati dan agak sukar untuk dikikis. Tetapi saya berusaha untuk menggunakan teknik-teknik yang mudah yang mungkin kesannya mampu menjadikan saya seorang ibu yang lebih toleransi dengan anak-anak.

Dan saya akui bukan mudah untuk permulaan...

Saya tahu ramai yang sudah tahu dan pasti ramai juga yang telah mengguna pakai teknik ini. Sekiranya berkelapangan, inshaAllah saya mungkin boleh berkongsi tentangnya dari masa ke semasa. Serta berkongsi sedikit pengalaman saya menggunakan teknik ini ke atas anak-anak saya. Saya seorang ibu dan tidak bekerja, jadi masa saya bersama anak terlalu banyak.  Saya mahu mereka merasa masa yang berkualiti bersama saya.

Sekiranya kita menghabiskan masa bersama anak-anak dan cuba memahami situasi mereka, pasti kita akan lebih tenang dalam menangani mereka. Mereka juga seperti kita, mahukan kebebasan, perhatian, kasih sayang, penghormatan dan penghargaan. Semua itu memang memerlukan latihan, terutama buat saya yang telah lama memegang 'title' ibu, dan begitu selesa dengan memberi arahan dan 'Im the lady boss here'.

Tolong doakan saya wahai teman-teman pembaca yang budiman semoga sentiasa istiqomah di atas jalan ini. Hanya Dia yang mampu membalas budi baik kalian. Terima kasih.

Teks oleh Azlina Hariri.
Imej kredit facebook.

Persepsi Anak

Alhamdulillah...

Cuti sekolah hampir melabuhkan tirainya. Sudah penghujung disember. Selama itu jugalah lamanya bercuti daripada menulis di sini. Banyak kekangan yang muncul. Tetapi kata-kata anak bungsu tempoh hari benar-benar menyebabkan saya sama-sama bercuti seperti mereka.

"Umi tengok fb ye?" 

Kata-kata anak petang itu nampak biasa sahaja. Tetapi di sebalik kata-kata yang biasa itu terkandung makna yang cukup mendalam. Mungkin pada sesetangah situasi kita menganggapnya biasa. Tetapi kali ini, saya menerimanya sebagai suatu lontaran ungkapan anak kecil yang perlu diambil berat.

Pertama menurut pandangan peribadi saya, anak ini melihat apa yang dilakukan oleh ibunya. Apabila berada sahaja di hadapan peti hitam legam ini pasti si kecil beranggapan ibunya sedang ber'facebook'. 

Contoh paparan skrin mukabuku.

Memang diakui kebanyakkan masa ketika berhadapan dengan komputer, 'facebook' antara perkara pertama yang dibuka. Dan kebanyakkan masa ketika si anak melintas, apa yang kelihatan juga adalah 'facebook'. Jadi, benarlah telahan si anak berpandukan apa yang dilihat olehnya.

Tetapi hakikatnya saya mampu melakukan lebih dari hanya melayani mukabuku. Dan sebenarnya, banyak masa saya habisi dengan mencari informasi yang semudah a,b,c untuk dijumpai.

2. Saya memperuntukkan beberapa waktu juga untuk mendengar perkongsian yang memberi impak positif kepada diri serta isu-isu semasa yang tidak mungkin di paparkan di skrin televisyen.

3. Saya juga berminat meluangkan sedikit waktu membaca penulisan yang begitu menarik minat diri.

4. Terakhir, saya juga berjinak-jinak menulis di sini.

Kesimpulannya, berada di hadapan komputer bukan bermakna akan selamanya bersama mukabuku sahaja!

Solusi

Keputusan bercuti menulis seketika bertepatan buat masa ini. Ianya mampu meredakan pandangan awal si anak. Masa penulisan juga bakal diubah. Si anak juga bakal diberi penerangan dari masa ke semasa bagi menjelaskan situasi yang sebenar tidaklah seperti yang dibayangkan oleh dirinya..

Menurut pandangan peribadi saya penjelasan perlu diberi kerana si anak bakal membesar. Dan pasti tidak elok sekiranya sepanjang tempoh membesar itu anak meletakkan suatu kepercayaan bahawa ibunya menghabiskan masa di hadapan komputer hanya kerana mukabuku.

Persoalan anak ini walaupun nampak biasa-biasa sahaja, tetapi sekiranya ianya menjadi satu kepercayaan kepada anak yang sedang membesar, kesannya nanti pasti tidak baik. Kadang-kadang anggapan mampu menjadi satu kepercayaan.

Terima kasih.

Teks oleh Azlina Hariri. 
Imej ihsan Mr Google.

Monday, December 2, 2013

Mitos Puteri Gunung Ledang

Masih dalam musim cuti persekolahan.

Hari ini hari kedua dalam bulan disember. Semakin menghampiri penamat bagi tahun 2013. Banyak kenangan yang bakal menjadi sejarah.

Teringat perjalanan semalam. Hati begitu terusik sepanjang perjalanan. Kami bergerak keluar meninggalkan rumah emak hampir senja.

Perjalanan dirasakan nyaman kerana sepanjang semalam hujan tidak berhenti-henti mencurah sedari malamnya. Hujan rahmat. Ketika melalui jambatan kelihatan penduduk meninjau-ninjau situasi sungai.

Hujan yang berterusan begitu memang boleh menyebabkan paras air naik. Jadi penduduk mesti bersiap siaga dengan situasi supaya tindakan awal boleh diambil.

Sungai Segamat pernah menagambil nyawa orang kampung beberapa waktu dahulu. Ramai yang cuba menyelamatkan mangsa namun deras dan dalamnya air bukan kudrat manusia untuk diduga. Apatah lagi situasi begitu memerlukan kepakaran menyelam dan mencari dalam arus deras serta gelap.

Perjalanan kami teruskan. Bagi menghilangkan kebosanan pelbagai topik dibicarakan. Ketika melihat bukit-bukau yang putih dilitupi kabus, anak tiba-tiba bertanya tentang gunung ledang.

"Di antara banyak bukit-bukit tu terdapat satu bukit yang memang nampak lebih cantik dari yang lain. Ia memiliki puncak yang tajam", terang suami.

"Tunggu hampir-hapir sampai ke kawasan pintu masuk air terjun nanti boleh nampak puncak bukit tu", sambung suami membuatkan kami semakin teruja. 

Ini bukan perjalan pertama kami tetapi ia merupakan informasi pertama serasa saya.

Ketika menghampiri pintu masuk, mata kami tertumpu pada bukit-bukau yang tersusun indah. Putih kabus nampak lebih 'effect'. 

"Jomla kita daki sekali sekala" kataku.

"Ini bukan gambar puncak gunung ledang"...

Memang benar nampak lain berbanding bukit-bukit yang lain. Ianya nampak tirus di atas. Bentuk segitiganya begitu sempurna. 

Kisah Lagenda 

Teringat kisah lagenda Puteri Gunung Ledang. Adakah ianya satu mitos atau kisah itu benar-benar pernah terjadi. Wallahu a'lam. Tiba-tiba wajah Gusti Putri yang wataknya dimainkan oleh pelakon tanahair mucul di benak fikiran. 

Aku memang amat meminati kisah sejarah, lagenda atau apa-apa yang klasik. Bagiku klasik begitu indah. Kisah lagenda biasanya adalah kisah yang benar, tapi bila ia dimasukkan dengan unsur-unsur mitos kisah itu mula menjadi seperti sesuatu yang diada-adakan.

Tidak mustahil kerana zaman dahulu hiburan rakyat tempatan adalah wayang kulit. Tok Dalang berperanan dalam menyampaikan suatu cerita. Mungkin kisah itu ada benarnya tapi apabila tambahan untuk menyedapkan jalan cerita terlebih dari cerita asal. Kadar benarnya semakin kurang.

Kisah Puteri Gunung Ledang banyak dikaitkan dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka. Sejarah kesultanan Melayu Melaka adalah kisah benar. Malah Melaka suatu ketika dahulu adalah tempat tumpuan pedagang-padagang seluruh dunia kerana strategiknya kedudukan selat Melaka.

Tetapi adakah benar wujud watak seorang puteri yang tinggal jauh nun di puncak gunung ledang? Malah memiliki kecantikan yang luar biasa hebat. Sehingga mampu menarik perhatian Sultan Melaka ketika itu. Juga memiliki kuasa sihir di mana tuan puteri mampu bertukar menjadi seorang nenek kebayan. Mungkin di sinilah bermula tokoh tambah suatu cereka.

Saya lebih mengambil pendekatan bahawa kisah Puteri Gunung Ledang hanyalah satu mitos dan menjadi cerita mulut ke mulut masyarakat dahulu. Ianya difilemkan dan kisah itu sampai kepada kita hari ini.

Ulasan saya tiada kaitan dengan sesiapa. Ianya merupakan pandangan peribadi sahaja. Salam dari kaki Gunung Ledang. 

Teks oleh Azlina Hariri.
Imej koleksi peribadi.